Produk Mary Kay


     Bulan lepas, pejabat kami di datangi oleh Mary Kay Beauty Consultant yang merupakan adik kepada salah seorang staff di pejabat kami. Saya dimaklumkan bahawa tujuan beliau hadir ke pejabat kami adalah untuk mengajar teknik solekan asas. Awal-awal lagi telah saya nyatakan bahawa saya sememangnya tidak berminat untuk mengikuti kelas tersebut. Bosan rasanya belajar benda yang sama berulang kali kerana baru sahaja beberapa bulan lepas saya menghadiri kursus grooming anjuran biro wanita kelab kebajikan & reakreasi syarikat kami. Tambahan pula saya sendiri sangat jarang bersolek. Jadi, untuk apa belajar benda yang sama berulang kali jika caranya adalah lebih kurang sama?


     Walaubagaimanapun saya telah menyatakan persetujuan untuk menjadi model bagi kelas solekan tersebut. Niat di hati hanya ingin melihat hasil karya perunding kecantikan itu di wajah saya. Selain itu, saya juga ingin melihat kesesuian warna bedak asas produk Mary Kay dengan warna kulit saya yang hitam manis ini.

     Saya sangkakan saya hanya perlu menjadi model seperti telah saya persetujui sebelum ini. Tetapi, rupa-rupanya perunding kecantikan itu lebih bijak mencipta ruang untuk mempromosikan barangan yang dijualnya. Secara tidak langsung saya 'terpaksa' mendengar penerangan dan mencuba produk penjagaan kulit wajah Mary Kay kerana alasannya, sebelum kita menatarias wajah kita, wajah kita perlu dibersihkan terlebih dahulu untuk mendapatkan kesan yang lebih menarik. Oh, pandai sungguh taktik yang digunakan oleh perunding kecantikan itu. Orang berniagalah katakan.

     Disebabkan kulit wajah saya adalah kulit kombinasi kering dan berminyak di zon T, saya diberi peluang mencuba Mary Kay Botanical Effects Full Set Normal Skin Formula 2. Saya agak tertarik dengan set ini kerana ia lengkap dengan mask dan toner berbanding dengan set penjagaan yang sedang saya gunakan sekarang (boleh lihat di entry ini). Namun, set ini juga tidak dilengkapi dengan krim malam dan perlu dibeli secara berasingan.


                 
                  Botanical Effects Full Set Normal Skin Formula 2

                              
                                TimeWise Night Solution

     Disebabkan saya hanya mencuba sekali sahaja produk penjagaan kulit wajah ini, jadi tidak adil untuk saya memberikan pendapat peribadi mengenai produk ini. Cuma apa yang boleh saya kongsikan, bedak asas keluaran Mary Kay ini lebih menepati citarasa saya kerana ton warnanya lebih hampir kepada kulit wajah saya jika dibandingkan dengan bedak asas keluaran produk lain. Manakala, produk kosmetik keluaran Mary Kay seperti lipstik dan eyeshadow kurang mendapat tempat di hati saya kerana warnanya yang kurang menyerlah di mata saya.

No comments:

Post a Comment